Sunday, June 21, 2009

HAK KITA ADALAH HAK ORANG LAIN.

Assalamualaikum wbt para pembaca sekalian..

Alhamdulillah kita masih dikurnia ALLAH Taala kesempatan untuk mendiami alam fana ini sehingga saat ini dengan segala rahmat kurnia dan kasih sayangNYA. Selayak-layak rasa kesyukuran hendaklah dipanjatkan kehadirat ILAHi kerana, mewujudkan kita ke dunia dengan penuh kesempurnaan zahir dan batin, kecukupan anggota tubuh badan, kerahmatan atas pilihanNYA untuk kita menganuti agama ISLAM, di atas rahmat IMAN, rahmat EHSAN, rahmat KESIHATAN dan rahmat REZEKI yang melimpah ruah.

Sebagai Hamba bergelar manusia se-WAJIB-nya kita bersyukur atas semua itu, dengan membuktikan rasa kesyukuran melalui perlaksanaan segala yang diperintahkan dan meninggalkan segala yang dilarang.

Sesungguhnya ALLAH itu sangat luas nikmatnya kepada orang-orang yang bersyukur, dan sangat berat lagi dahsyat kemurkaan dan seksaanNYA bagi meraka yang ingkar serta kufur!

Firman ALLAH SWT dalam Kitabihi A'ziz yang bermaksud,

Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras. (Surah Ibrahim, ayat 007)

Pembaca yang budiman,

Kali ini saya rasa terpanggil untuk memberi sedikit panduan mengenai Rukun Islam Ke-4 iaitu mengenai ZAKAT. Zakat sememang penting dalam membantu meningkatkan sosio-ekonomi umat ISLAM supaya antara kita dapat merasakan nilai rasa kasih sayang dan saling memerlukan dapat terus disuburkan seterusnya membawa kepada kemajuan UMAT.

Di sini saya kongsikan serba sedikit tentang zakat yang mana mungkin boleh membantu kita untuk lebih memahami suruhan ALLAH ini seterusnya menggerakkan hati-hati kita untuk mengeluarkan zakat seperti mana disyariatkan.

Definisi syarak:


Kadar harta yang tertentu, diberikan kepada orang tetentu dengan syarat-syarat tertentu.


Dalil Quran:


Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah dengan sengaja kamu memilih yang buruk daripadanya (lalu kamu mendermakan atau kamu jadikan pemberian zakat), padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan menganbil yang buruk itu (kalau diberikan kepada kamu), kecuali dengan memejamkan mata padanya. Dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi sentiasa Terpuji. (Al-Baqarah, Ayat 267)


Harta yang wajib dibayarkan zakat:


EMAS DAN PERAK


Kategori emas yang diwajibkan zakat:

· Emas yang dipakai melebihi 200 g (uruf). Kadar zakat adalah 2.5 % atas nilai yang melebihi uruf tersebut.

· Emas yang disimpan menyamai atau melebihi 85 g. Kadar zakat adalah 2.5 % atas keseluruhan nilai emas tersebut

· Perak yang menyamai atau melebihi 595 g. Kadar zakat adalah 2.5 % atas keseluruhan nilai perak tersebut.


WANG SIMPANAN


Jenis wang simpanan yang dikenakan zakat:


1. Simpanan Tetap

Zakat 2.5 % daripada keseluruhan simpanan tersebut.


2. Simpanan Biasa

Zakat 2.5 % dari nilai terendah (cukup nisab) dalam tempoh setahun simpanan tersebut.


3. Simpanan KWSP/LTAT

· Zakat dikenakan sebaik sahaja simpanan KWSP/LPAT itu dikeluarkan (serta merta)

· Kadar zakatnya adalah 2.5 % dari jumlah yang dikeluarkan (jika menyamai atau melebihi nisab)


PERNIAGAAN


Kadar permulaan nisab zakat bagi zakat perniagaan:


Mengikut kadar nilai harga emas yang beredar pada sesuatu masa, kadarnya ialah sebanyak 20 mithqal atau 85 g emas atau 25 mayam dan 2.71 saga


Jenis perniagaan yang layak dikenakan zakat:


Ada Penyataan Kewangan

Aset Semasa (-) Liabiliti Semasa (+/-) Pelarasan x Peratusan Milik Muslim x 2.5 %


Tiada Penyata Kewangan


Bagi perniagaan yang tidak mempunyai stok seperti kedai makan atau restoran, asas pengiraannya adalah 2.5 % dari keuntungan kasar setahun operasi.


Bagi perniagaan yang mempunyai stok barangan seperti kedai runcit dan seumpama dengannya, asas pengiraan adalah 2.5 % dari Aset Semasa Bersih (Aset Semasa: stok, hutang pelangan yang dijamin bayarannya serta wang di bank dan di tangan tolak tanggungan semasa: hutang kepada pembekal dan kos operasi belum bayar)


TERNAKAN


Nisab ternakan yang layak dizakatkan:

Lembu/Kerbau : 30 ekor

Kambing/Biri-biri : 40 ekor

Unta : 5 ekor


TANAMAN DAN BUAHAN

· Tanaman yang berbentuk bijian, seperti padi, gandum gandum, jagung dan sebagainya yang menjadi bahan makanan asasi yang mengenyangkan.

· Buah-buahan yang mengenyangkan dan tahan lama seperti tamar dan anggur.

· Dikenakan zakat sekiranya hasil tanaman itu mencapai atau melebihi 400 gantang atau 967.66 KG~1000 kilogram (KG)

· Tanaman yang menggunakan tenaga manusia atau selainnya seperti binatang dan jentera atau dengan perbelanjaan yang banyak, maka zakatnya ialah 5 %

· Bagi tanaman yang menggunakan aliran hujan atau aliran air secara semula jadi, maka kadar zakatnya ialah 10 %.



PENDAPATAN/PENGHASILAN


Pendapatan yang wajib dizakatkan:

· Pendapatan atau perolehan yang diperoleh seseorang melalui sumber-sumber yang sah dan halal. Contohnya: GAJI, ELAUN, BONUS, PENCEN, UPAH HASIL SEWA, GRATUITI dan lain-lain.


Penghasilan yang diwajibkan zakat:

· Hasil ladang getah

· Hasil ladang sawit

· Hasil pertaniaan – selain padi seperti buah-buahan, sayur-sayuran dan lain-lain.

· Hasil ternakan- selain lembu, kerbau, kambing, biri-biri dan unta seperti ayam, itik, ikan dan lain-lain.


SAHAM


Jenis-jenis saham yang dikenakan zakat:


1. Saham yang masih dimiliki sehingga hujung haul.

· Saham berbentuk simpanan seperti Saham ASB, Saham ASN, Saham Amanah, sijil-sijil premium dan lain-lain. Kadar zakatnya 2.5 % atas nilai terendah dalam tempoh setahun.


2. Saham yang dijual beli sepanjang haul

· Saham berbentuk jual beli (trading) seperti Saham Telekom, Saham TNB, Saham Petroleum dan lain-lain. Kadar zakatnya 2.5 % atas nilai saham pada akhir tahun tarikh haul.


HARTA RIKAZ


Definisi syara’:


Ialah harta benda yang berupa emas-perak dan sebagainya yang dijumpai tertanam di dalam perut bumi, hasil dari peninggalan orang-orang yang terdahulu, padanya tidak terdapat tanda-tanda yang ianya kepunyaan orang-orang Islam.


Kadar zakat rikaz:

1/5 dari jumlah harta tersebut yang wajib dikeluarkannya dengan segera tanpa kiraan haul.

Syarat wajib zakat rikaz:


1. Islam

2. Merdeka

3. Sampai Nisab: bagi emas 20 mithqal atau 85 gram, bagi perak 200 dirham atau 624 gram.


** PERHATIAN:

Permulaan nisab bagi matawang dan harta perniagaan adalah mengikut kadar harga/nilai turun atau naiknya harga emas bagi sesebuah negari/negara.


Rujukan:
1. Pusat Zakat Selangor
2. Buku Pengajian Al-Fiqh Al-Wadhih
3. Al-kitab Syariah Islamiah
4. Al-Kitab Al-Quran As-Sunnah.

Semoga sedikit usaha ini dapat membantu saudara saudari sekalian dalam memuhasabah diri tentang zakat. Yang penting adakah apa yang kita miliki hari ini sudah dikeluarkan zakat sebagai mana yang telah ditetapkan ISLAM. Waallahu'alam.


.MAHBUB MARDHATILLAH..

DAHLAN AZMIE HAMIZ DARWISY IBNU DAUD

INSTITUT IBNU DAUD


No comments:

Post a Comment