Saturday, February 27, 2010

THE HOUSE OF PROPHET MUHAMMAD SAW (PEACE BE UPON HIM)


SELAWAT DAN SALAM KE ATAS JUNJANGAN BESAR NABI MUHAMMAD SAW DAN SELURUH PARA NABI DAN RASUL DAN AHLI KELUARGA BAGINDA.










..MAHBUB MARDHATILLAH..
DAHLAN AZMIE HAMIZ DARWISY
INSTITUT IBNU DAUD

Thursday, February 25, 2010

ENTRY MAULIDUR RASUL 1431H: LEMBARAN CINTA KU UNTUK MU WAHAI NABIKU RASULULLAH Al-MUSTAFA

Assalamualaikum wabarahmatullahi wa barakatuh.

Alhamdulillah segala puji dan syukur hanya ke hadrat ALLAH Qadhi Jalil Rabbul Izzati, Tuhan Yang Maha Pencipta dan Maha Agung. Selawat dan salam buat junjungan NAbi Muhammad SAW, yang tercinta, keluarga Baginda, para sabahat as-sabiqun al-awwalun, seterusnya ummat akhir zaman ini yang masih berpegang kepada Al-Quran Al-Karim dan sunnah Baginda dalam kehidupan yang fana ini.

Saudara-saudari, teman, taulan, kawan dan sahabat sekalian,
Berkesempatan lagi kita dengan izin ALLAH Taala untuk sama-sama menyambut Hari Keputeraan Baginda Junjungan Besar kita Muhammad Al-Mustafa pada tahun 1431H/2010H. Sebagaimana yang sudah sedia maklum Maulidur Rasul di Malaysia pada tahun ini disambut pada tarikh 26hb Feb 2010, bersamaan dengan 12 Rabiulawal 1431H..insyallah..

Dari tahun ke tahun kita menyambut Hari Kebesaran Penghulu Nabi ini dengan mengadakan pelbagai acara yang telah dirancang oleh pihak pemerintah. Antara program yang selalu dikaitkan dengan Hari Mulia ini yang juga dinamakan Hari Maulud Nabi adalah marhaban, zanji, qasidah burdah dan selawat, perarakan, persembahan hiburan islami, penganugerahan darjah kebesaran negara dan jamuan-jamuan makan.

Namun adakah semua aktiviti dan program tersebut telah memberi kesan positif kepada kita selaku umat Baginda? Jika kita bertanyakan kepada muda mudi sekarang waima golongan tua tentang latarbelakang Baginda Rasulullah, masih ramai yang tidak tahu kisah perjalanan Kekasih ALLAH ini dalam membawa sinar cahaya keimanan kepada seluruh umat. Inilah sebenar yang patut menjadi pengisian dalam sambutan Maulidur Rasul yang diadakan saban tahun. Bukan hanya retorik sambutan semata-mata. Semua dilaksanakan demi untuk menggambarkan perasaan kasih dan sayang terhadap junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w..namun tercapaikan objektif mengasihi RASULULLAH SAW itu?

Saban tahun 12 Rabiul Awal muncul, maka saban tahun juga polemik tentang sunnah atau bidaahnya menyambut maulidul rasul akan muncul. Pihak yang menentang sambutan maulidul rasul menyatakan ia adalah bidaah kerana ia tidak pernah dilaksanakan pada zaman Nabi s.a.w dan sahabatnya serta pada zaman para salafussoleh . Malah imam-imam mazhab yang empat seperti Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Syafie dan Imam Ahmad r.h juga tidak pernah menganjurkan sambutan maulidul rasul ini.

Timbul persoalan adakah mereka semua ini tidak mencintai Nabi Muhammad s.a.w. sebagaimana generasi sesudah mereka yang menganjurkan sambutan maulidul rasul? Bagi pihak yang menyokong sambutan ini mereka beranggapan ia adalah bidaah yang baik (hasanah) dan bertujuan untuk mengagungkan Baginda s.a.w. pembawa Cahaya dari ALLAH SWT dan untuk mencerminkan kasih sayang kita kepada baginda. Apatah lagi tidak terdapat larangan yang khusus daripada ALLAH serta Rasul-NYA ke atas sambutan maulidul rasul ini.

Apa pun jua kita tidak ingin menyambung polemik ini yang akan sentiasa dibahaskan tanpa penghujungnya. Apa yang ingin kita bahaskan di sini adalah tentang tatacara sebenar yang boleh dihayati untuk membuktikan kasih sayang kita serta pengagungan kita kepada Nabi Muhammad s.a.w. walaubagaimana pun sebelum itu, mari kita selusuri sedikit sejarah sambutan Maulidur Rasul dan bagaimanakah ianya diraikan.

Sebagaimana yang telah termaklum dalam sejarah bahawa golongan yang pertama kali mengadakan upacara sambutan maulidul rasul ini adalah Bani Ubaid al-Qadah dari kelompok Fatimiyyah yang memerintah Mesir bermula dari 362 sehingga 567 Hijrah. Mereka ini berfahaman syiah al-Rafidhah dan juga terpengaruh dengan aliran Qaramithah al-Bathiniyah iaitu kelompok yang terkeluar dari ahli sunnah wal jamaah.

Kerajaan Fathimiyah ini menganjurkan upacara peringatan maulidul rasul ini bukan atas dasar cinta mereka kepada Nabi Muhammad s.a.w. Tetapi, tujuan utama mereka adalah berunsur politik yakni untuk mencari pengaruh serta sokongan daripada rakyat demi menutupi kesesatan mereka.

Jika mereka inilah pelopor sambutan maulidul rasul, jadi bagaimanakah caranya para salafussoleh mempamerkan kecintaaan mereka kepada Rasulullah s.a.w? Tentu sekali kita telah fahami bahawa golongan yang paling mencintai Nabi Muhammad s.a.w. adalah para sahabatnya. Malah, generasi terbaik mencontohi baginda s.a.w adalah para sahabat, tabi’in dan tabi’ al-Tabi’in sebagaimana sabdanya:

“Sebaik-baik generasi ialah generasiku, kemudian orang-orang yang sesudahnya (tabi’in) dan kemudian orang-orang yang sesudahnya (tabi’ al-Tabi’in).” - Hadis Riwayat Al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, Kitab al-Manaqib, Hadis no: 3650.

Telah terbukti mereka ini tidak pernah menyambut maulidul rasul. Jadi bagaimanakah pandangan mereka tentang hakikat sebenar mencintai Rasulullah s.a.w.. Oleh itu, melalui entry ini suka bagi saya untuk berkongsi hakikat sebenar mencintai RASULULLAH SAW.

Kewajipan Mencintai Nabi s.a.w

Mencintai Nabi Muhammad s.a.w itu adalah satu prinsip agama yang sangat penting serta mendasar. Seseorang itu tidak dianggap beriman sehingga dia benar-benar mencintai Nabi Muhammad s.a.w melebihi dirinya sendiri, kaum kerabat dan harta-bendanya.

Firman ALLAH S.W.T:

“Katakanlah (wahai Muhammad): Jika bapa-bapa kamu, anak-anak kamu, saudara-saudara kamu, isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, kaum keluarga kamu, harta benda yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu bimbang akan merosot dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai (jika semua itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada ALLAH dan Rasul-NYA dan (dari) berjihad untuk agama-NYA, maka tunggulah sehingga ALLAH mendatangkan keputusan-NYA (azab seksa-NYA); kerana ALLAH tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).” – Surah al-Taubah (9) : 24.


Firman ALLAH S.W.T lagi,


“Nabi itu (hendaklah) lebih diutamakan bagi orang-orang yang beriman berbanding diri mereka sendiri.” – Surah al-Ahzab: 6.

Sabda Rasulllah s.a.w: Maksudnya:


“Aku lebih utama bagi setiap mukmin berbanding dirinya sendiri.” - Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, kitab Al-Jamaah, hadis no: 6.


Sabda Rasulllah s.a.w: Maksudnya:


“Tidaklah dianggap beriman di kalangan kamu semua sehingga aku lebih dicintainya daripada ibubapanya, anaknya dan manusia seluruhnya.” - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, kitab al-Imaan, hadis no: 15.


Masih terdapat banyak lagi dalil sedemikian rupa yang tidak lain menunjukkan kewajipan mencintai baginda s.a.w di mana ia merupakan antara ciri-ciri golongan beriman. Rasulullah s.a.w. berhak meraih cinta tersebut kerana baginda adalah makhluk yang paling mulia di sisi ALLAH, memiliki akhlak yang luhur dan jalan yang lurus, mengasihi umatnya, membawa petunjuk kepada umatnya, menyelamatkan umatnya dari neraka dan menjadi rahmat kepada seluruh alam. Mencintai Nabi Muhammad s.a.w merupakan kesan kesaksian kita bahawa Muhammad itu utusan ALLAH yang merupakan sebahagian dari kalimah syahadah.


Para pembaca yang rahmati ALLAH sekalian..

Terdetik di hati saya untuk mengenengahkan sedikit cara untuk mengambarkan kecintaan kita pada Rasulullah SAW meskipun kita tidak pernah bersua dengan Baginda.


Hakikat Mencintai Rasulullah

Orang yang benar-benar mencintai Rasulullah s.a.w memiliki ciri-ciri tertentu. Di sini saya menampilkan beberapa tanda-tanda yang menggambarkan perasaan cinta kita kepada Rasulullah s.a.w:

1. Mentauhidkan ALLAH S.W.T.

Hikmah utama diutusnya para rasul termasuk Nabi Muhammad s.a.w adalah untuk menyeru manusia kembali kepada tauhid yang murni dan menentang syirik.

Firman ALLAH S.W.T:

“Dan sesungguhnya KAMI telah mengutus di kalangan tiap-tiap umat seorang rasul (agar menyeru mereka): Hendaklah kamu menyembah ALLAH dan jauhi Taghut.” – Surah al-Nahl: 36.

Al-Hafiz Ibn Kathir r.a berkata:

“Semua para rasul mengajak beribadah kepada ALLAH dan melarang beribadah kepada selain-NYA. Malah, ALLAH sentiasa mengutus para rasul dengan tugas tersebut semenjak terjadinya kesyirikan yang dilakukan oleh kaum Nabi Nuh a.s. Dialah rasul pertama diutus oleh ALLAH kepada penghuni bumi hingga penutup para rasul, iaitu Muhammad s.a.w yang menyampaikan dakwahnya kepada bangsa jin dan manusia di timur dan barat. Keadaan mereka semua ini digambarkan sebagaimana firman ALLAH S.W.T:


“Dan KAMI tidak mengutus sebelummu (wahai Muhammad) seorang Rasul melainkan KAMI wahyukan kepadanya: Bahawa sesungguhnya tiada TUHAN (yang berhak disembah) melainkan AKU. Oleh itu, beribadahlah kamu kepada-KU.” – Surah al-Anbiya’: 25.


Maksud mentauhidkan ALLAH adalah beribadah hanya kepada ALLAH sahaja dan tidak menyekutukannya dengan sesuatu apa pun. Inilah pengertian sebenar kalimah tauhid, iaitu La Ilahaa Illaallah (Tiada TUHAN yang berhak disembah melainkan ALLAH) dengan memurnikan ibadah hanya kepada-NYA dan berlepas diri dari segala sesuatu selainnya. Inilah misi utama Nabi Muhhamad s.a.w terhadap umatnya.

Oleh itu, untuk membuktikan kasih sayang kita kepada Nabi Muhammad s.a.w, kita hendaklah menghindari amalan-amalan syirik seperti menyembah berhala, mengikhlaskan ibadah kita hanya kepada ALLAH, berdoa hanya kepada ALLAH tanpa perantaraan (wasilah) yang tidak di izinkan-NYA seperti bertawassul di kuburan para wali, mentaati hukum-hakam ALLAH serta berlepas diri daripada hukum buatan manusia yang tidak selari dengan syarak, tidak memakai tangkal, tidak bertilik nasib, tidak berjumpa bomoh, mengingkari nama-nama dan sifat-sifat ALLAH dan lain-lain lagi. Mentauhidkan ALLAH merupakan bukti paling kukuh menunjukkan kita mencintai Nabi Muhammad s.a.w.

2. Mentaati Sunnah Nabi s.a.w.

Di antara tanda-tanda yang jelas menggambarkan perasaan sayang kita kepada Nabi Muhammad s.a.w adalah dengan mengerjakan sunnahnya, mengikuti perkataan dan perbuatannya, menjalankan perintahnya dan menghindari larangannya. Pada dasarnya semua perbuatan dan ucapan Nabi s.a.w wajib diikuti dan diteladani.


Firman ALLAH S.W.T., Maksudnya:

“Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu terdapat contoh ikutan yang baik bagi kamu, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) ALLAH dan (balasan baik) hari akhirat serta dia pula menyebut dan mengingati ALLAH banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).” – Surah al-Ahzab: 21


Menurut Al-Hafiz Ibn Kathir:


“Ayat ini merupakan dasar utama untuk mencontohi Rasulullah s.a.w baik dalam ucapan, perbuatan mahupun hal ehwal baginda. Mentaati Rasulullah s.a.w juga adalah bukti yang menunjukkan kita mencintai ALLAH.


Firman ALLAH S.W.T:

“Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi ALLAH maka ikutilah aku, pasti ALLAH mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), ALLAH Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” – Surah Ali Imran: 31


Mentaati sunnah Nabi juga bermaksud menghindari amalan bidaah. Bidaah seperti yang didefinisikan oleh Imam al-Syathibi r.a ialah:


“Jalan yang direka di dalam agama, yang menyerupai syariah dan tujuan mengamalnya untuk berlebihan dalam mengabdikan diri kepada ALLAH.” - Rujuk Kitab Meluruskan Tafsir Bidaah karya Syeikh Alwi bin Abdul Qadir al-Saqqaf yang merupakan ringkasan kepada Kitab al-I’tishom karya Imam Abu Ishaq al-Syathibi (edisi terjemahan oleh Farid Qurusy, Pustaka As-Sunnah, Surabaya (2003), ms. 2.

Berdasarkan definisi ini dapat kita fahami bahawa medan operasi bidaah adalah dalam hal-hal yang bersangkutan dengan agama sahaja. Oleh itu apa jua bentuk rekaan terkini di dalam hal kehidupan duniawi maka ia tidak termasuk di dalam ruang lingkup perbahasan bidaah menurut definisi syarak.


Ini kerana, terdapat dalil-dalil yang menggalakkan umat Islam untuk terlibat di dalam usaha mencipta rekaan-rekaan terkini demi kemajuan umat Islam. Dalam hal ehwal duniawi, manusia memiliki kebebasan untuk melakukan inovasi termoden dan tercanggih asalkan ia tidak mendatangkan keburukan kepada orang ramai serta tidak bertentangan dengan syariah.

Sabda Nabi s.a.w: Maksudnya:

“Kamu lebih tahu hal ehwal dunia kamu.” - Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, kitab al-Fadhail, hadis no: 2363.


Sabda Nabi s.a.w: Maksudnya:

“Jika sesuatu urusan termasuk hal ehwal dunia kamu, kamu lebih tahu untuk menguruskannya dan jika sekiranya termasuk urusan agama kamu, kembalikanlah kepada aku.” - Hadis riwayat Ibn Majah di dalam Sunan Ibn Majah, kitab al-Ahkam, hadis no: 2462.

Bidaah yang kita maksudkan di sini adalah mengada-adakan ritual-ritual agama baru yang tidak pernah diajar atau diamalkan oleh Rasulullah s.a.w. Seluruh bidaah yang bersangkutan dengan agama ini adalah sesat dan pengamalannya adalah sia-sia kerana ia tidak diterima oleh ALLAH.

Sabda Nabi s.a.w: Maksudnya:

“Sesungguhnya sebaik-baik ucapan adalah Kitabullah (al-Quran), sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad (sunnah), seburuk-buruk perkara adalah yang diada-adakan (bidaah), setiap perkara yang diada-adakan termasuk kategori bidaah dan setiap perkara yang bidaah adalah sesat.” - Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, Kitab al-Jama’ah, hadis no: 867.

Sabda Nabi s.a.w:
Maksudnya:

Barangsiapa yang mengada-adakan di dalam urusan kami (iaitu di dalam perkara berkaitan agama) apa-apa yang tidak ada padanya, maka tertolaklah ia.” - Hadis riwayat Imam al-Bukhari, no: 2697

Maksudnya:

Barangsiapa yang melakukan satu amal yang bukan dari suruhan kami (iaitu di dalam perkara berkaitan agama), maka tertolaklah ia. - Hadis riwayat Imam Muslim, no: 1718

Oleh itu, memerangi amalan bidaah merupakan satu bukti yang menunjukkan kecintaan kita kepada sunnah Nabi s.a.w. Sebaliknya, mengamalkan amalan bidaah menggambarkan pengkhianatan kita kepada Baginda. Imam Malik r.a berkata:

“Sesiapa yang mencipta bidaah dalam Islam dan menganggapnya baik (hasanah) maka dia telah mendakwa Muhammad s.a.w mengkhianati risalah. Ini kerana, ALLAH telah berfirman:

“Pada hari ini aku telah sempurnakan agama kamu.” – Surah al-Maidah: 3.

Setiap perkara yang ada pada hari tersebut tidak termasuk urusan agama, maka ia juga tidak akan menjadi sebahagian dari agama pada hari ini.” – Rujuk Kitab Meluruskan Tafsir Bidaah karya Alwi bin Abdul Qadir al-Saqqaf, ms. 14.

Oleh itu, berhati-hatilah dengan amalan-amalan bidaah walaupun ia nampak baik dan bertujuan mulia. Ingatlah pesan Abdullah bin Umar r.a:

Maksudnya:

“Setiap bidaah itu sesat, walaupun manusia memandangnya (perbuatan bi’dah tersebut) hasanah (baik).” – Atsar riwayat al-Lalaka-i di dalam Syarh Usul I’tiqad Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah, Ibn Nashir di dalam al-Sunnah dan oleh Ibn Battoh di dalam al-Ibanah.

3. Menyebarkan Sunnah Nabi s.a.w.

Mencintai Nabi s.a.w bukan sekadar hanya taat kepada sunnah baginda. Malah, antara tanda kesempurnaan perasaan cinta kepada baginda adalah dengan menyebarkan sunnah-sunnah tersebut kepada seluruh umat manusia. Sabda baginda s.a.w: Maksudnya:

“Hendaklah orang yang yang hadir (pada hari ini) menyampaikan (sunnahku) kepada yang tidak hadir.” - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, kitab al-Haj, hadis no: 1739.

Maksudnya:

Kamu semua hendaklah sampaikan apa yang diambil daripadaku walau satu ayat.” - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, kitab Ahadis al-Anbiya’, no: 3461.

Keinginan untuk menyebarkan sunnah Nabi s.a.w, menyampaikannya serta mengajarkannya adalah menyambung tugasan Baginda. Sekiranya kerja-kerja dakwah Baginda tidak ada kesinambungan pasti sunnahnya akan mati dan digantikan dengan amalan-amalan bidaah .


4. Sentiasa memuji dan mengingatinya.

Sekiranya kita mencintai Nabi Muhammad s.a.w, seharusnya baginda sentiasa berada di hati kita. Kita sepatutnya selalu mengingati pengorbanan yang telah baginda lakukan demi menyelamatkan umatnya dari kesesatan. Oleh itu, kita hendaklah memperbanyakkan membaca serta mempelajari sejarah hidup baginda serta berusaha untuk menjadikan perjalanan hidup baginda sebagai cahaya yang menyuluh perjalanan hidup. Kita juga hendaklah hanya menyibukkan diri dengan sejarah Baginda yang sahih dan menghindari cerita-cerita palsu dan lemah yang banyak tersebar dalam masyarakat. Kita juga sepatutnya memuji Nabi s.a.w dengan pujian yang selayak baginya. Pujian yang paling utama adalah dengan berselawat kepadanya.

Firman ALLAH S.W.T:

“Sesungguhnya ALLAH dan malaikat-NYA berselawat kepada Nabi. (Oleh itu) wahai orang-orang yang beriman! Berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penuh penghormatan.” – Surah al-Ahzab: 56

Selawat-selawat yang kita ucapkan mestilah bersumber dari hadis-hadis yang sahih dan bukan selawat-selawat ciptaan manusia. Antara kalimah selawat yang baginda telah ajarkan adalah seperti berikut:


Pertama:

Abdul Rahman bin Abi Lailah r.a berkata:


“Saya berjumpa dengan Ka’ab bin Abi Lailah lalu dia berkata: Mahukah aku hadiahkan kepadamu satu hadiah yang aku pernah mendengarnya daripada Nabi s.a.w? Jawabku: Sudah tentu! Hadiahkanlah kepadaku. Dia berkata: Kami (para sahabat) pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w bagaimana (cara) berselawat kepada kamu (wahai) ahli bait kerana sesungguhnya ALLAH telah mengajarkan kepada kami bagaimana (caranya) kami memberi salam (kepadamu)? Baginda menjawab: Ucapkanlah oleh kamu semua,

Maksudnya:

“Ya ALLAH! Selawat ke atas Muhammad dan keluarga Muhammad sebagaimana ENGKAU telah berselawat kepada Ibrahim dan keluarga Ibrahim. Sesungguhnya ENGKAU Maha Terpuji lagi Maha Mulia. Ya ALLAH! Berkatilah Muhammad dan keluarga Muhammad sebagaimana ENGKAU telah memberkati Ibrahim dan keluarga Ibrahim sesungguhnya ENGKAU Maha Terpuji lagi Maha Mulia.” - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, kitab Ahadith al-Anbiya’, hadis no: 3370.

Kedua:

Musa bin Talhah meriwayatkan daripada bapanya (iaitu Talhah bin ‘Ubaidullah) r.a katanya:

“Kami (para sahabat) bertanya: Ya Rasulullah, bagaimanakah (caranya) berselawat kepadamu? Baginda bersabda: Kamu semua hendaklah mengucapkan, Maksudnya:

“Ya ALLAH! Selawatlah ke atas Muhammad dan keluarga Muhammad sebagaimana ENGKAU telah berselawat kepada Ibrahim dan keluarga Ibrahim. Sesungguhnya ENGKAU Maha Terpuji lagi Maha Mulia. Dan berkatilah Muhammad dan keluarga Muhammad sebagaimana ENGKAU telah memberkati Ibrahim dan keluarga Ibrahim. Sesungguhnya ENGKAU Maha Terpuji lagi Maha Mulia.” - Hadis riwayat Ahmad di dalam Musnad Ahmad, hadis no: 1323 dan juga diriwayatkan oleh Imam al-Nasaai di dalam Sunan al-Nasaai , kitab al-Sahwa, hadis no: 1273 dan 1274.

Ketiga:

Abu Mas’ud al-Anshari r.a berkata:

“Rasulullah s.a.w datang kepada kami sedang kami berada dalam majlis Sa’ad bin ‘Ubadah. Kemudian Basyir bin Sa’ad bertanya kepada baginda: ALLAH telah memerintahkan kepada kami berselawat kepadamu wahai Rasulullah, maka bagaimanakah (caranya) kami berselawat kepadamu? Abu Mas’ud berkata: Lalu Rasulullah s.a.w diam sehingga kami ingin kalau sekiranya dia (Basyir bin Sa’ad) tidak bertanya kepada baginda. Kemudian Rasulullah s.a.w bersabda: Kamu semua hendaklah mengucapkan,

Maksudnya:


“Ya ALLAH! Selawatlah ke atas Muhammad dan keluarga Muhammad sebagaimana ENGKAU telah berselawat kepada keluarga Ibrahim. Ya ALLAH! Berkatilah Muhammad dan keluarga Muhammad sebagaimana ENGKAU telah memberkati keluarga Ibrahim mengatasi seluruh alam. Sesungguhnya ENGKAU Maha Terpuji lagi Maha Mulia.” - Hadis riwayat al-Nasaai di dalam Sunan al-Nasaai, kitab al-Sahwa, hadis no: 1268 dan juga diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi di dalam Sunan al-Tirmizi, kitab Tafsir al-Quran, hadis no: 3144.


Keempat:

Abu Humaid al-Saa’idi r.a berkata:

“Sesungguhnya mereka (para sahabat) bertanya: Ya Rasulullah! Bagaimana (cara) kami berselawat kepadamu? Jawab baginda: Ucapkanlah,

Maksudnya:


“Ya ALLAH! Selawatlah kepada Muhammad dan kepada isteri-isteri beliau dan keturunannya sebagaimana ENGKAU telah berselawat kepada keluarga Ibrahim. Ya ALLAH! Berkatilah Muhammad, isteri-isteri beliau dan keturunannya sebagaimana ENGKAU telah memberkati keluarga Ibrahim. Sesungguhnya ENGKAU Maha Terpuji lagi Maha Mulia.” - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, kitab al-Anbiya’, hadis no: 3369 dan kitab al-Da’wat, hadis no: 6360. Hadis ini juga diriwayatkan oleh Muslim dalam Sahih Muslim, kitab al-Solah, hadis no: 407.

Selain dari selawat-selawat di atas, terdapat beberapa lagi cara selawat yang telah diajar oleh Rasulullah s.a.w dan boleh kita dapati dari hadis-hadis sahih. Semuanya boleh dimanfaatkan ketika ingin berselawat kepada baginsa s.a.w. Sewajarnya kita mencontohi cara bacaan yang benar-benar telah diajar oleh baginda sendiri.


Dewasa ini ramai orang yang tidak mengambil peduli sunnah yang benar-benar mencontohi Rasulullah s.a.w berkaitan tatacara berselawat. Malah, mereka bukan sekadar menambah lafaz-lafaz lain dalam selawat, tetapi ada yang sampai ke tahap menggubah tatacara atau lafaz-lafaz baru secara total tanpa ada contohnya daripada Nabi s.a.w, para sahabat, tabi’in, tabi’ al-Tabi’in mahupun imam-imam mazhab yang empat. Pada tanggapan mereka ini adalah satu perbuatan yang lebih bermanfaat berbanding lafaz asal yang datang daripada baginda s.a.w.!!!

Tindakan sebegini sepatutnya dihindari secara total oleh umat Islam dan kembali kepada ajaran Nabi s.a.w sebagaimana yang terdapat di dalam hadis-hadis sahih. Ini kerana, Nabi Muhammad s.a.w adalah makhluk paling sempurna ibadahnya dan yang paling mulia di sisi ALLAH. Sewajarnya kita tidak mencontohi ikutan selain baginda s.a.w.

Menurut Syeikh Abu Ubaidah:

“Setelah kita ketahui bahawa bacaan selawat kepada Nabi s.a.w merupakan contoh ibadah dan sesuatu bersifat tauqifi. Kita tidak boleh menambah mahupun mengubah lafaz yang telah ditetapkan dengan bentuk formula selawat yang baru. Tindakan itu merupakan salah satu bentuk pembangkangan terhadap pemilik syariat (ALLAH) yang sebenarnya harus kita patuhi dan kita cintai dengan sepenuh hati.” - Abu Ubaidah Mashur bin Hassan, Koreksi Total Ritual Solat, edisi terjemahan oleh W. Djunaeidi S, Pustaka Azzam, Jakarta (2001), ms. 162.


Sememangnya, berselawat kepada baginda disyariatkan dalam pelbagai ibadah seperti tasyahhud dalam solat, khutbah, solat jenazah, sesudah azan, saat berdoa, saat namanya disebut dan pelbagai kesempatan lain.


5. Mencintai mereka yang dicintai oleh Nabi s.a.w.


Antara tanda cinta seseorang kepada Nabi s.a.w adalah mencintai mereka yang dicintai oleh baginda seperti ahli keluarga dan para sahabatnya serta membenci mereka yang memusuhi, membenci serta menentang dakwah baginda.

Sabda Rasulullah s.a.w: Maksudnya:

“Janganlah kamu semua mencaci salah seorang sahabatku. Ini kerana, sekiranya salah seorang di kalangan kamu menafkahkan emas sebesar gunung Uhud, semua itu tidak mampu menyamai satu mud (yang diinfakkan) salah seorang antara mereka malah tidak mencapai separuh.” – Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, kitab Fadhail al-Sohabah, hadis no: 2541.

Sabda Nabi s.a.w, Maksudnya:

“Wahai manusia! Sesungguhnya aku hanyalah manusia biasa yang hampir sahaja utusan TUHANku (malaikat maut) datang menjemputku lalu aku memenuhinya. Aku akan meninggalkan kepadamu tsaqalain (dua perkara yang berat): Pertama, Kitabullah yang berisi petunjuk dan cahaya. Berpegang teguhlah kepada Kitabullah. Baginda menganjurkan atas Kitabullah dan motivasi untuk itu, Kemudian baginda bersabda: Dan juga ahli baitku. Aku mengingatkan kamu semua kepada ALLAH tentang ahli baitku, aku mengingatkan kamu semua kepada ALLAH tentang ahli baitku.” - Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, kitab Fadhail al-Sohabah, hadis no: 2408.

Secara logiknya, sesiapa yang mencintai seseorang dia juga akan mencintai apa yang dicintai oleh orang yang disayangi. Hal ini dikuatkan dengan dalil berikut:

“Sesungguhnya sesiapa yang mencintai sesuatu maka dia akan mencintai segala yang disukainya, yang serupa dengannya dan segala yang ada kaitan dengannya.” - Rujuk Fath al-Bari bi Syarh Sahih al-Bukhari karya al-Hafiz Ibn Hajar al-’Asqalani.


6. Membenci Orang Yang Dibenci Oleh Nabi s.a.w.

Hendaklah kita membenci serta menjauhkan diri daripada mereka yang memusuhi Allah dan Rasul-Nya seperti golongan yang kufur kepada agama Allah dan mereka yang bergelumang dengan perbuatan yang bertentang dengan syarak.
Firman Allah S.W.T.

Engkau tidak akan dapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tergamak berkasih-mesra dengan orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan Rasul-Nya, sekalipun orang-orang yang menentang itu ialah bapa-bapa mereka, atau anak-anak mereka, atau saudara-saudara mereka, ataupun keluarga mereka. Mereka (yang setia) itu, Allah telah menetapkan iman dalam hati mereka, dan telah menguatkan mereka dengan semangat pertolongan daripada-Nya; dan DIA akan memasukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka tetap kekal di dalamnya. Allah redha akan mereka dan mereka redha (serta bersyukur) akan nikmat pemberian-Nya. Merekalah penyokong-penyokong (agama) Allah. Ketahuilah! Sesungguhnya penyokong-penyokong (agama) Allah itu ialah orang-orang yang berjaya. – Al-Mujadaalah (58) : 22


7. Membela Nabi s.a.w dari serangan golongan munafik.

Dewasa ini kita melihat institusi kenabian, hukum-hakam ALLAH serta sunnah-sunnah baginda s.a.w sedang hebat diperlekehkan oleh kelompok-kelompok munafik seperti gerakan Islam liberal, golongan anti hadis, para orientalist dan kelompok sesat yang lain.

Oleh itu, antara tanda kecintaan kita kepada Nabi Muhammad s.a.w adalah dengan membantah hujah-hujah golongan tersebut dan membela baginda dengan memberikan penjelasan kepada seluruh umat Islam terhadap isu-isu batil yang dibangkitkan oleh musuh-musuh ALLAH.


Sabda Nabi s.a.w: Maksudnya:

“Sesiapa yang membela kami dari gangguan orang-orang musyrik dia akan mendapat balasan syurga atau menjadi temanku di syurga.” - Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, kitab al Jihad wa al-Siyara, hadis no: 1789.

ALLAH akan sentiasa menghargai mereka yang membela agama-NYA dengan memberi pertolongan kepada mereka.

Firman ALLAH S.W.T:

“Sesungguhnya ALLAH pasti menolong mereka yang menolong agama-Nya. Sesungguhnya ALLAH benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa.” – Surah al-Haj: 40.

Demikianlah beberapa tanda yang menggambarkan hakikat sebenar mencintai Nabi Muhammad s.a.w. Jelas di sini bahawa hakikat mencintai Nabi s.a.w bukanlah satu perkara yang datang hanya setahun sekali, iaitu pada tarikh 12 Rabiul Awal sahaja atau dengan hanya menganjurkan upacara-upacara tertentu sempena maulidur rasul. Malah, mencintai Nabi Muhammad s.a.w adalah satu proses berterusan, sentiasa perlu diberi perhatian dan disuburkan pada setiap waktu dan ketika.


Jelas juga kepada kita bahawa antara ciri-ciri utama golongan yang benar-benar mencintai baginda adalah mereka yang sentiasa berusaha menegakkan sunnah dan memartabatkan hukum hakam ISLAM.

Semoga sambutan maulidur rasul di Malaysia pada kali ini selaras dengan syariat ISLAM yang bertemakan "Memantap Ukhwah Memperkasa Ummah" lebih terkesan dan mampu menggambarkan hakikat sebenar kecintaan umat Islam di negara ini terhadap Nabi Muhammad s.a.w dengan menyisihkan segala amalan-amalan di luar syariat ISLAM yang tidak mendatang sebarang kebaikan bagi seluruh umat. Hanya cinta sejati kepada Rasulullah s.a.w dapat dibuktikan dengan ittiba’ (mengikuti Sunnah Nabi s.a.w) dan bukan ibtida’ (mengamalkan amalan bidaah).


Wahai Tuhan Ku, senangkanlah kami dengan cinta Nabi Thoha..Seperti kaum Anshar mendendangkan “Thala’ al-badru …”Tapi hamba punya yang lebih baik darinya…Hamba miliki ‘penghulu’ kalimatnya…Yaitu “Shalli wa sallim…”, yang malaikat pun memelihara menghafalkannya. Dia menyerunya sebagai kefarduan..

SALAM MAULIDUR RASUL 1431H/2010M
"Memantap Ukhuwah Memperkasa Ummah"


..MAHBUB MARDHATILLAH..
DAHLAN AZMIE HAMIZ DARWISY
INSTITUT IBNU DAUD

Sunday, January 17, 2010

KAIFIAT SOLAT SUNAT GERHANA

Lafaz niat: "Sahaja aku solat sunat gerhana matahari 2 rakaat kerana ALLAH Taala"

Solat sunat gerhana boleh dilaku secara berseorangan mahupun secara berjamaah. Sebaik-baiknya lakukanlah solat sunat ini secara berjamaah.

Solat sunat gerhana dilakukan sebanyak 2 rakaat, 4 al-fatihah, 4 ruku dan 4 sujud.

Cara melaksanakan solat sunat gerhana:

Rakaat pertama:

Takbir (niat solat sunat gerhana)
Bacaan al-fatihah dan surah
Ruku'
Iktidal
Bacaan al-Fatihah dan surah
Ruku'
Iktidal
Sujud dan seterusnya seperti solat biasa

Rakaat kedua:
Sama seperti rakaat pertama


..MAHBUB MARDHATILLAH..
DAHLAN AZMIE HAMIZ DARWISY
INSTITUT IBNU DAUD

Tuesday, January 12, 2010

OH UJIAN ALLAH

UJIAN


Ada yang mengatakan ujian adalah kesusahan pada tubuh badan
kesusahan pada jiwa
apa untungnya Allah menyusahkan jasad dan jiwa
bukankah ia tidak menambahkan keagungan dan kemuliaan-Nya
apalagi Dia Maha Mengasihani Maha Sopan-santun

.

Pandanglah ujian dengan hatimu
ujian adalah perbuatan Tuhanmu
bukan untuk menghancurkan tetapi untuk meneguhkanmu
bila kamu memperolehi keteguhan baharu kamu menjadi pilihan
bila sudah lulus dan dipilih
Dia bangga memperkenalkan kamu kepada makhluk-Nya
keteguhan kamu melintasi ujian
menjadi dalil pilihan-Nya adalah tepat
inilah keadilan-Nya.

Ujian ditujukan kepada rohani bukan kepada jasad atau jiwa
tujuannya untuk mengukur tauhid
bukan sekadar untuk kesabaran
apakah nilai sabar tanpa tauhid
bukankah sabar juga bersama si kafir.

Ujian yang diterima dengan iman meneguhkan tauhid
menambahkan kekuatan pandangan hati
tidak berkelip memandang kepada Tuhan
sehingga kepedihan ujian menjadi kemanisan.

Ujian adalah pentas sandiwara
mempamerkan kebijaksanaan Tuan Pengarah
bila engkau diberi watak menderita
hingga berjaya membuat penonton menangis
ketahuilah
engkau adalah pelakon penting
diasuh untuk menjadi bintang
bakal menerima ganjaran lumayan.

Apabila engkau menjadi pelakon
apa bezanya watak gembira dengan watak duka
skrip di tangan Tuan Pengarah.


P/s aL-Faqeer: Diri ini belum rapi menjadi tetamu ILAHI..
Ya ALLAH.. AmpuniLah Diri Hina Ini



..MAHBUB MARDHATILLAH..
DAHLAN AZMIE HAMIZ DARWISY
INSTITUT IBNU DAUD

Thursday, January 7, 2010

PROGRAM KUNJUNGAN AL-'ALLAMAH AS-SYEIKH MURRABI AD-DAIE' 'ILALLAH AL-HABIB UMAR BIN MUHAMMAD BIN SALIM BIN HAFIZD IBN SYEIKH ABU BAKAR BIN SALIM

Al-Habib 'Umar bin Hafiz is a descendant of the Prophet, peace and blessings be upon Him, through his grandson Imam Hussain, may Allah be pleased with him. He was born in Tarim, Hadramaut in Yemen, and raised in a household that possessed a tradition and lineage of Islamic scholarship and righteousness, his father being the famous martyr, scholar, and caller to Islam Al-Habib Muhammad bin Salim.


The Genealogy pathyway of Habib Umar to our Prophet Muhammad SAW:

He is al-Habib ‘Umar the son of Muhammad the son of Salim the son of Hafiz the son of Abd-Allah the son of Abi Bakr the son of ‘Aidarous the son of al-Hussain the son of al-Shaikh Abi Bakr the son of Salim the son of ‘Abd-Allah the son of ‘Abd-al-Rahman the son of ‘Abd-Allah the son of al-Shaikh ‘Abd-al-Rahman al-Saqqaf the son of Muhammad Maula al-Daweela the son of ‘Ali the son of ‘Alawi the son of al-Faqih al-Muqaddam Muhammad the son of ‘Ali the son of Muhammad Sahib al-Mirbat the son of ‘Ali Khali‘ Qasam the son of ‘Alawi the son of Muhammad the son of ‘Alawi the son of ‘Ubaidallah the son of al-Imam al-Muhajir to Allah Ahmad the son of ‘Isa the son of Muhammad the son of ‘Ali al-‘Uraidi the son of Ja'far al-Sadiq the son of Muhammad al-Baqir the son of ‘Ali Zain al-‘Abidin the son of Hussain the grandson, the son of both ‘Ali the son of Abu Talib and of Fatimah al-Zahra the daughter of the Prophet Muhammad SAW.

To know him mores, please check the programmes below:







..MAHBUB MARDHATILLAH..
DAHLAN AZMIE HAMIZ DARWISY
INSTITUT IBNU DAUD

Saturday, January 2, 2010

JOM KE MAJLIS ILMU

INFO DAN HEBAHAN

بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.
JOM Pergi Majlis Ilmu..


1. Hari ini (2hb Jan 2010, 16 Muharram 1431H)

Majlis Tafaqquh Fiddin
Bersama Syeikh Nuruddin Marbu Al-Banjari Al-MAkki
Lepas Maghrib, di Surau An-Nur, Bandar Baru Bangi (berhampiran Darul Syifa')

2. 10hb dan 12hb Jan 2010 bersamaan 24, 26 Muharram 1431H

Bersama al-'Allamah As-Syeihk Murrabi Ad-Daie' 'Ilallah Al-HAbib Umar Bin Muhammad Bin Salim Bin Hafizd Ibn Syeikh Abu Bakar Bin Salim.




الجلسة الكبرى مع العلماء الكبار
من تريم ، حضرموت إلى ماليزيا

العلامة الشيخ المربي الداعي إلى الله
الحبيب عمر بن محمد بن حفيظ ابن الشيخ أبي بكر بن سالم
الحسيني الحضرمي

1) بمسجد الفلاح
USJ 9 ,
سوبنج جايا ، سلانجور ، ماليزيا
في يوم الأحد ، 10 يناير 2010 م
= 24 محرم 1431 هـ
الوقت من 6.00 - 10.00 مساء
(استعلامات : 0133309474 (إمام أزين

2) ببيت القراء
(تحت رعاية : أستاذ ذوالكفلي إسماعيل)
قرية بياسوم ، سوغي أودانج ، ملاكا
في يوم الثلاثاء ، 12 يناير 2010 م
= 26 محرم 1431 هـ

الوقت من 6.30 - 10.00 مساء
(استعلامات : 0123110444 (حُوْذِيْر




Kami mengajak saudara -saudari semua melapangkan masa untuk turut sama menghadiri majlis-majlis ilmu dan sama-sama sebarkan maklumat ini demi kesejahteraan usaha Dakwah Islam melalui saluran2 anda : website, blog, email group, masjid2 , surau2 atau sms anda ..

Semoga Allah mengurniakan ganjaran Dakwah Fi Sabilillah dan memberkatinya ...

jazakumullahu khairan kathiran



..MAHBUB MARDHATILLAH..
DAHLAN AZMIE HAMIZ DARWISY
INSTITUT IBNU DAUD

Saturday, December 26, 2009

JOM PUASA 9 DAN 10 MUHARAM (ASSYURA)

Assalamualaikum wbt..

Esok adalah tanggal 9 Muharram 1431 dan lusa 10 Muharram 1431H. 10 Muharram seringkali disebut HARI 'ASYURA. Berkenaan dengan puasa pada 9 dan 10 Muharram ini, saya sempat memetik beberapa hadis yang berkaitan. Mari kita semak antara HAdis-hadis yang bercakap tentang puasa pada kedua-dua tarikh tersebut, insyallah.


Dari Aisyah rha, katanya: “ Di zaman jahiliyyah, orang-orang Quraisy melakukan puasa pada hari ‘Asyura. Dan RAsulullah SAW pernah pula mempuasakannya. Tatkala baginda berhijrah ke MAdinah, beliau mempuasakannya bahkan memerintahkan supaya umatnya mempuasakannya pula. Maka tatkala puasa Ramadhan diwajibkan, baginda bersabda, “ Siapa yang suka berpuasa di hari ‘Asyura silakan, dan siapa yang tidak suka, tidak mengapa (1094: Hadis Sahih Muslim, Jilid 2).

Dari Ibnu ‘Abbas ra, katanya: “ ketika Rasululllah SAW belum lama tiba di Madinah, didapatinya orang-orang Yahudi puasa pada hari “Asyura. Lalu mereka ditanya perihal itu (apa sebabnya mereka berpuasa pada hari itu). JAwab mereka, “ Hari ini adalah hari kemenangan Musa dan BAni Israil atas Fira’un. Kerana itu kami puasa pada hari ini untuk menghormati Musa”. Maka bersabda NAbi SAW., “ kami lebih layak memuliakan Musa daripada kamu”. Lalu baginda perintahkan supaya kaum muslimin puasa pada hari ‘Asyura. (1098: Hadis Sahih Muslim, Jilid 2).

Dari ‘Abdullah bin ‘Abbas ra., dia menceritakan bahawa ketika RAsulullah SAW puasa pada hari ‘Asyura (10 Muharram) dan memerintahkan kaum Muslimin supaya berpuasa, para sahabat berkata, “ HAri ini adalah hari raya orang-orang Yahudi dan NAsrani”. LAlu RAsulullah SAW bersabda”: Apabila masih menyaksikan tahun yang akan datang, insyaAllah kita puasa pada tanggal 9 Muharram.” KAta “Abdullah selanjutnya, “ Ternyata tahun depan itu, baginda sudah wafat”. (1103: Hadis Sahih Muslim, Jilid 2)


Dari Abu Qatadah al-Anshari ra, katanya RAsulullah SAW ditanya orang tentang puasa hari 'Arafah. Jawab baginda, " Semoga dapat menghapus dosa tahun yang lalu dan yang akan datang". Kemudian baginda ditanya pula tentang puasa hari 'Assyura, Jawab BAginda, "semoga dapat menghapus dosa tahun yang lalu". (1132: Hadis Sahih Muslim, Jilid 2)



Saudara Pembaca, Muslimin dan Muslimat..


Makanya jelas kepada kita mengenai puasa 9 dan 10 Muharram ini. Berkebetulan juga pada 10 Muharram setiap tahun adalah Tarikh Ulang Tahun Kelahiran saya mengikut kalendar ISLAM. Rasulullah SAW juga menganjurkan agar kita berpuasa bagi meraikan hari ulang tahun kelahiran sebagai tanda kesyukuran kita kepada kasih sayang dan rahmat ALLAH SWT mewujudkan dan melahirkan kita ke dunia ini dengan selamat dan sempurna.


Oleh itu, saya menyeru saudara saudari semua, marilah kita sama-sama berpuasa sunat 9dan 10 muharram yakni esok dan lusa sebagai tanda kita mengikut sunnah RASULULLAH SAW dan para sahabat baginda, insyallah..



JOM PUASA kerana ALLAH SWT..


Rujukan: Terjemahan Hadis Sahih Muslim Al-Imam Muslim Jilid 2



..MAHBUB MARDHATILLAH..
DAHLAN AZMIE HAMIZ DARWISY
INSTITUT IBNU DAUD

Friday, December 25, 2009

UCAPAN TAHNIAH SEMPENA PERAYAAN AGAMA LAIN


Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera..

Esok 25hb Disember 2009, mereka yang beragama kristian akan menyambut Hari Krismas atau Hari Natal. Namun begitu persoalannya, adakah wajar bagi kita mengucapkan selamat kepada mereka yang menyambutnya dan apakah hukumnya?

Perkara ini sering terlepas pandang pada hukumnya dek kerana kemajmukan masyarakat Malaysia..1MALAYSIA la katakan..Tetapi ada beberapa perbahasan yang berkaitan dengan memberi ucapan selamat kepada non-muslim. Mari kita selusuri sedikit tentang hal ini…Insyallah.

JENIS-JENIS UCAPAN SELAMAT YANG BOLEH DAN TIDAK DIBOLEHKAN TERHADAP NON-MUSLIM

Terdapat beberapa hukum yang boleh dirujuk:

HARUS: Ucapan tidak mengandungi rasa redha dengan agama lain tetapi sekadar melahirkan kemesraan dan menghormati.

Contohnya: “semoga sihat sejahtera, semoga mendapat kebaikan..” dan sebagainya.

HARAM: Jika terdapat unsur keredhaan terhadap agama kufur.

Contohnya: ‘semoga dimuliakan pada hari raya ini..,” “ hari raya ini adalah hari mulia..,” dan sebagainya.

Namun, lebih baik jika ucapan kemesraan dan menghormati itu diiringi dengan doa agar mendapat hidayah. Contohnya, “ semoga mendapat hidayah…”, “semoga beroleh cahaya iman…” dan sebagainya.

Berdoa kepada ALLAH SWT supaya orang lain mendapat hidayah amatlah digalakkan. Nabi SAW juga berdoa supaya kaumnya mendapat hidayah ALLAH SWT kerana mereka ialah golongan yang tidak mengetahui. Nabi SAW juga berdoa supaya ALLAH SWT memperkukuhkan ISLAM kepada salah seorang daripada dua Umar ketika keduanya belum mendapat petunjuk ISLAM.

Cuma dalam situasi hari ini, kita mengambil kesempatan dengan kedatangan hari raya non-muslim ini untuk mendoakan mereka mendapat hidayah ALLAH SWT. Asas keharusan ini adalah berdasarkan saranan al-Quran supaya berbuat baik dan berlaku adil kepada non-muslim. Firman ALLAH SWT dalam al-Quran Yang Mulia:

Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu) dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. (Surah al-Mumtahanah: 8)

Biasanya juga non-Muslim mengucapkan ucapan selamat dan tahniah sempena perayaan agama umat ISLAM. Maka, atas dasar membalas sifat hormat mereka, maka wajarlah kita membalas mengikut kadarnya pada landasn syariat islam, wajarlah dengan ucapan dengan cara menghormati juga, bukan sama-sama membuat ritual agama mereka. Firman ALLAH SWT:

Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu. (Surah An-Nisa’: 86)

Demikikan itu, saya berharap sedikit panduan dan ilmu ini, boleh memberi nilai tambah kepada kita dalam perhubungan sosial dengan masyarakat bukan ISLAM di negara kita. Sama-samalah kita berdoa agar ALLAH melimpahkan rahmat, kasih sayang, taufiq dan hidayah-NYA sentiasa kepada kita..

ISLAM ITU PANDUAN HIDUP BERSYARIAT
.
Rujukan: Fiqah Beinteraksi Dengan Non-Muslim karangan Yg Berbahagia Ust Mohammad Nizam Abd. Kadir.


..MAHBUB MARDHATILLAH..
DAHLAN AZMIE HAMIZ DARWISY
INSTITUT IBNU DAUD

Friday, December 18, 2009

SALAM MAAL HIJRAH 1431H

Assamualaikum wbt muslimin dan muslimat semua..

Firman ALLAH Taala fi Kitabihi Aziz,

Bismillahi rahmanirahim..

"Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya dia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan RasulNya, kemudian dia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (An-Nisa', 100)


Rasulullah SAW juga pernah bersabda,

Omar bin Al-Khattab r.a ketika diatas mimbar, katanya: Saya telah mendengar Rasulullah saw bersabda: sesungguhnya segala amalan itu di sertai dengan niat, dan sesungguhnya bagi tiap-tiap seorang apa yang diniatkannya. Maka barangsiapa berhijrah kerana dunia mendapat habuannya atau kerana perempuan yang akan dikahwininya maka hijrahnya kepada sesuatu yang ia berhijrah kepadanya. (Sahih Al-Bukhori)

SEMOGA SEGALA AMAL KEBAIKAN TAHUN LEPAS DIANGKAT OLEH ALLAH SEBAGAI KEBAJIKAN DAN SEGALA DOSA TAHUN LEPAS DIAMPUNKAN ALLAH SWT.
DAN TAHUN BARU INI, KITA TERUSKAN BERDOA DAN BERUSAHA MEMBAIKI DIRI MENUJU LEBIH BAIK DARI TAHUN-TAHUN YANG LALU..INSYALLAH..AMIN..

TERUSKAN BERDAKWAH..




..MAHBUB MARDHATILLAH..
DAHLAN AZMIE HAMIZ DARWISY
INSTITUT IBNU DAUD